Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan (tengah) pada sidang media Ops Luxury 3.0 di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan beberapa individu termasuk selebriti tanah air sudah berada dalam radar berhubung isu kegagalan memperbaharui cukai jalan kenderaan mewah milik mereka.
Selain itu, turut dikenal pasti JPJ melibatkan beberapa individu terdiri daripada pempengaruh dan ahli perniagaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil risikan terbaru mendapati beberapa individu berkenaan termasuk dalam senarai pemilik kenderaan yang dipercayai telah tamat tempoh cukai jalan.
“Risikan dijalankan setakat ini mendapati kenderaan milik mereka tidak digunakan di jalan raya.
“Bagaimanapun, sekiranya kenderaan terbabit dikesan dipandu dalam keadaan tanpa cukai jalan yang sah maka tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur di sini.
Katanya, pemantauan terhadap golongan berstatus itu bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak.
“Perlu diingat bahawa JPJ bukan mahu mencari salah, namun mahu setiap individu mematuhi peraturan ditetapkan.
“Perlu diingat bahawa menjadi kewajipan untuk patuh terhadap peraturan undang-undang adalah sama untuk semua, tiada pengecualian,” katanya.
Terdahulu, statistik Ops Luxury sejak 1 Julai lalu mencatatkan sebanyak 258 kenderaan mewah pelbagai jenama disita.
Statistik turut merekodkan Kuala Lumpur mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 93 buah diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16), Kelantan (15) serta lain-lain negeri.
Antara kesalahan dikesan termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, mempamerkan nombor pendaftaran belum berdaftar serta pelbagai kesalahan teknikal lain.






























