Joniston Bangkuai
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menyifatkan pengumuman Parti Warisan untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri akan datang sebagai sekadar retorik.
Beliau berkata, alasan Warisan bahawa tindakan itu untuk menghalang campur tangan parti-parti dari Semenanjung dalam politik Sabah “berbau hipokrasi,” sambil mengingatkan tindakan parti itu bekerjasama dengan UMNO dalam percubaan yang gagal untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023.
“Bukankah langkah Warisan bersekongkol dengan UMNO dalam ‘Langkah Kinabalu’ 2023 yang gagal itu sama seperti memberi talian hayat kepada UMNO? Bukankah UMNO sebuah parti dari Semenanjung?
“Tindakan Warisan menunjukkan parti itu sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingannya,” kata Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Walaupun Warisan mempunyai hak untuk bertanding di semua 73 kerusi, Joniston berkata, politik tidak seharusnya dijadikan permainan untuk saling mengatasi antara satu sama lain.
“Malah di Sarawak, PBB mampu memerintah secara sendiri tetapi memilih untuk membentuk GPS demi sebuah kerajaan negeri yang lebih inklusif,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu ketika menghadiri sesi bertemu rakyat di Kampung Ranau-Ranau dalam kawasannya.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik sejak hari pertama selepas pengundian amat penting bagi memastikan kerajaan dapat segera memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Joniston menekankan bahawa realiti politik Sabah menuntut pengakhiran amalan tawar-menawar politik selepas pilihan raya, yang boleh melambatkan kerja-kerja mendesak dalam pentadbiran.
“Kita mesti bersikap realistik. Keutamaan adalah untuk mempunyai kerajaan yang stabil sejak hari pertama, tanpa rundingan atau tawar-menawar berpanjangan selepas pilihan raya.
“Lebih cepat kita mendapat kejelasan, lebih cepat kita dapat bekerja,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa seperti mana GRS bekerjasama rapat dengan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini, kerjasama itu dapat memelihara suara Sabah di peringkat Persekutuan sambil memastikan negeri kekal stabil dalam pentadbirannya sendiri.
Katanya, kerjasama tersebut dibina atas dasar saling menghormati, dengan kepimpinan dan kuasa membuat keputusan Sabah kekal di tangan GRS.
“Apabila kerajaan negeri dan persekutuan dapat bergerak seiring, Sabah memperoleh manfaat dari segi pembiayaan, pembangunan, dan sokongan dasar. Itulah yang penting untuk rakyat kita,” ujarnya.
Joniston percaya hanya dengan kestabilan, kerajaan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu mendesak seperti penambahbaikan infrastruktur luar bandar, memastikan bekalan air dan elektrik yang stabil, serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Beliau menambah bahawa konsistensi dalam prinsip amat penting untuk mendapatkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat, khususnya dalam mempertahankan autonomi Sabah.
Sambil mengakui bahawa mandat rakyat akan menentukan bentuk kerajaan seterusnya, beliau berkata GRS kekal komited meletakkan kestabilan dan pembangunan Sabah mengatasi percaturan politik.


































