NEW DELHI: India menangguhkan rancangan pembelian senjata dan pesawat baharu dari Amerika Syarikat (AS), susulan tindakan Presiden Donald Trump mengenakan tarif tambahan ke atas eksport negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, tiga pegawai India mendedahkan, langkah tersebut menjadi ‘protes’ pertama ketegangan serius dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu sejak beberapa dekad.
Sebelum ini, India merancang untuk menghantar Menteri Pertahanan, Rajnath Singh ke Washington dalam masa terdekat bagi mengumumkan beberapa pembelian, namun lawatan tersebut dibatalkan.
6 Ogos lalu, Trump mengenakan tarif tambahan 25 peratus terhadap barangan India sebagai hukuman kepada Delhi ekoran pembelian minyak Russia, yang didakwa membiayai pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Tindakan Trump menggandakan tarif eksport India kepada 50 peratus, antara yang tertinggi bagi rakan dagang AS.
Presiden AS itu mempunyai rekod kerap membuat pusingan-U berkaitan tarif dan India berkata pihaknya masih aktif terlibat dalam perbincangan dengan Washington.
Seorang daripada sumber negara itu berkata, pembelian pertahanan tersebut boleh diteruskan selepas India mendapat kepastian mengenai kadar tarif dan hala tuju hubungan dua negara, namun tidak secepat yang dijangkakan.
Seorang lagi pegawai mendakwa, arahan bertulis untuk menghentikan pembelian tidak pernah dikeluarkan, menunjukkan New Delhi mempunyai pilihan bagi mengubah keputusan, tetapi tiada perkembangan buat masa ini.
New Delhi, yang membina hubungan rapat dengan AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berkata negara itu disasarkan secara tidak adil dan menegaskan Washington serta sekutunya di Eropah terus berdagang dengan Russia apabila ia menguntungkan mereka.
Reuters melaporkan buat pertama mengenai perbincangan pembelian kenderaan tempur Stryker keluaran General Dinamics Land Systems dan peluru berpandu anti-kereta kebal Javelin buatan Raytheon serta Lockheed Martin ditangguhkan, susulan tindakan Trump mengenakan tarif tinggi terhadap eksport India.
Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, pada Februari lalu mengumumkan rancangan untuk meneruskan pembelian serta pengeluaran bersama kedua-dua peralatan ketenteraan tersebut.
Menurut dua sumber, Singh turut merancang mengumumkan pembelian enam pesawat peronda Boeing P8I dan sistem sokongan bagi Tentera Laut India semasa lawatan ke Washington.
Rundingan pembelian pesawat bernilai AS$3.6 bilion (RM15.2 bilion) itu dilaporkan berada di peringkat akhir.






























