Di sebalik sebuah bengkel membaiki kereta berhampiran kawasan jalan utama di Thailand, tersembunyi haiwan peliharaan kesayangan seorang pempengaruh TikTok yang semakin terkenal, dua ekor singa dan seekor hibrid singa-harimau seberat 200 kilogram yang diberi nama ‘Big George’.
Menurut Utusan Malaysia, pemilikan singa adalah sah di sisi undang-undang di Thailand, dan Tharnuwarht Plengkemratch merupakan penyokong tegar amalan ini.
Tharnuwarht kerap memuat naik kemas kini tentang haiwan-haiwan eksotiknya kepada hampir tiga juta pengikut.
“Mereka manja dan suka bermain, macam anjing atau kucing,” katanya kepada AFP dari dalam kompleks sangkar di rumahnya di bandar utara Chiang Mai.
Namun, populasi singa dalam kurungan di Thailand meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun lalu dengan hampir 500 ekor yang didaftarkan di zoo, ladang pembiakan, kafe interaktif dan juga kediaman persendirian.
Pakar memberi amaran, trend ini bukan sahaja membahayakan haiwan dan manusia, tetapi juga membebankan pihak berkuasa selain berpotensi menyumbang kepada perdagangan haram, baik dalam mahupun ke luar negara.
“Ini betul-betul gila. Bayangkan apa yang akan berlaku dalam 10 tahun akan datang jika undang-undang tidak diperketatkan,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pemuliharaan Wildlife Friends Foundation Thailand, Tom Taylor.
Ledakan pemilikan singa ini sebahagian besarnya dipacu oleh media sosial, di mana pemilik seperti Tharnuwarht berkongsi kandungan ringan dan gambar menarik bersama haiwan liar mereka.
“Saya cuma mahu membuktikan kepada orang ramai yang singa sebenarnya boleh bermanja dan berhubung rapat dengan manusia,” katanya.
Pempengaruh itu mendakwa kerap bermain dengan ‘binatang buas’ peliharaannya itu.
Namun, ketika memasuki kandang Big George yang juga dikenali sebagai spesies kacukan ‘liger’, Tharnuwarht kelihatan lebih berhati-hati.
Dia hanya berada di dalam kandang selama beberapa minit sebelum berundur ke balik pagar selepas beberapa kali ‘disapa’ oleh kaki besar haiwan itu.
Sejak 2022, undang-undang Thailand mewajibkan pemilik mendaftar dan menanam cip mikro pada singa, serta memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum memindahkannya.
Namun, tiada had pembiakan ditetapkan, keperluan sangkar yang minimum malah, tiada kawalan terhadap pembiakan hibrid seperti liger atau tigon.
Seorang peniaga berusia 32 tahun, Pathamawadee Janpithak yang bermula dengan perniagaan buaya kini beralih kepada singa apabila harga reptilia dua alam itu jatuh mendadak.
“Lama kelamaan ia menjadi perniagaan sepenuh masa yang saya tidak boleh tinggalkan,” katanya sambil berdiri di depan barisan anak singa dalam sangkarnya.
Pathamawadee menjual anak singa berusia sebulan sekitar 500,000 baht (RM65,085), turun dari kemuncak 800,000 baht (RM104,120), berikutan peningkatan ladang pembiakan.
Singa biasanya diberi makan dua kilogram bangkai ayam setiap hari dan mampu melahirkan dua hingga enam anak setiap kali bunting, setahun sekali atau dua kali.
Pathamawadee kini menguruskan tiga fasiliti dengan kira-kira 80 ekor daripada singa jantan dewasa yang gagah sehinggalah anak putih yang lemah dan perlu diberi susu botol.
Singa putih, hasil mutasi genetik, menjadi kegilaan di Thailand, walaupun sering kali membiak sesama sendiri hingga menyebabkan masalah kesihatan.
Separuh daripada 90 anak singa yang dibiakkannya setiap tahun dijual kepada pembiak lain, termasuk pengusaha ‘kafe singa’ di mana pengunjung boleh bergambar dan bermain dengan anak haiwan itu.
Di luar Chiang Mai, wartawan AFP turut menyaksikan seekor anak singa dikejutkan dari tidur untuk bermain dengan pelancong dari China namun, tiada pemilik kafe yang sudi ditemu bual.

Pathamawadee mendedahkan, dia kini tidak lagi menjual kepada kafe kerana banyak anak singa dikembalikan selepas beberapa minggu dalam keadaan trauma dan tidak sesuai untuk pembiakan.
Pertambahan populasi singa juga kini menjadi masalah bagi Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) Thailand, akui Pengarah Perlindungan Hidupan Liar, Sadudee Punpugdee.
Menurut Sadudee, pihak berkuasa Thailand juga berdepan dilema kerana setiap kali haiwan dirampas, kos penjagaan yang sangat tinggi itu ditanggung kerajaan, menyebabkan mereka perlu menilai secara teliti sebelum bertindak.
Walaupun pemilik seperti Tharnuwarht sering menjadikan alasan pemuliharaan sebagai justifikasi, hakikatnya singa peliharaan di Thailand tidak akan dilepaskan ke habitat liar.
Dua ekor singa bernama Khanom dan Khanun yang kini berusia dua tahun, tinggal di pusat perlindungan DNP selepas disita daripada kafe dan pemilik kerana dokumen tidak lengkap.
Haiwan ini boleh hidup satu dekad lagi dan memerlukan penjaga mahir serta makanan khas setiap hari.
Negara seperti Amerika Syarikat (AS) serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah pun mengharamkan pemilikan singa atau harimau secara peribadi dan Thailand kini sedang meninjau semula undang-undang berkaitan.
Sadudee berharap ada bahagian akan diperketatkan, walaupun larangan menyeluruh masih belum realistik.




























