Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di sini malam ini.
KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerjasama itu terbukti membantu menstabilkan politik di Sabah, sekali gus memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk menumpukan perhatian terhadap pembangunan negeri termasuk penyelesaian isu kemudahan asas.
“Majlis Tertinggi GRS akan duduk semeja dengan kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi parti masing-masing. GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan hendaklah memainkan peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menegaskan, mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pada malam ini tidak membincangkan atau menyentuh sebarang kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17.






























