Armizan(lapan dari kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada kumpulan Riuh Samah johan pertandingan bertitik.
TUARAN: Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 menjadi platform menghimpunkan persatuan Bajausama dari seluruh negeri, sekali gus memperkukuh usaha memartabatkan seni, budaya dan tradisi etnik itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penganjuran kali ini lebih bermakna kerana buat julung kalinya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Semenjak ditubuhkan pada tahun 2012 dan kini telah pun berusia 13 tahun persatuan kita telah berkembang kepada 19 buah cawangan di seluruh negeri Sabah dan saban tahun festival inilah masa untuk kita membawa sekalian wakil-wakil pimpinan persatuan untuk berkampung di daerah tuaran ini khususnya di pusat kebudayaan persatuan kita yang ada di sini,” katanya.
Jelas beliau, festival itu menjadi platform penting untuk memperkukuh jati diri dan identiti masyarakat Bajausama di Sabah, selain mengumpulkan pelbagai generasi termasuk kanak-kanak seawal usia 10 tahun yang turut menyertai pertandingan bertitik.
“Seni dan budaya Bajau Sama adalah antara kekuatan unik Sabah yang boleh dijadikan tarikan pelancongan sekali gus menjana ekonomi setempat.
“Festival ini mempunyai nilai ekonomi yang boleh dijana melalui pelancongan seni dan budaya, pada tahun depan Tahun Malaysia sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, khususnya ke Tuaran dan pusat kebudayaan ini. “Langkah itu berpotensi menjana rakyat serta menambah hasil dan dana untuk persatuan.
“Kita berharap festival ini dapat dimasukkan dalam kalender rasmi MOTAC agar ia mendapat sokongan berterusan setiap tahun,” katanya dalam ucapan Perasmian Pertandingan Akhir Betitik Peringkat Negeri Sabah Dewan Terbuka Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama di sini, pada Sabtu Armizan turut mencadangkan agar motif pakaian tradisional dapat dimodenkan dan dikomersialkan, seperti yang dilakukan terhadap batik Sarawak, supaya ia digunakan secara meluas termasuk pada hari rasmi Khamis bagi penjawat awam.
Beliau turut menyeru ahli persatuan dan generasi muda agar meneruskan legasi perjuangan memartabatkan warisan budaya itu, sekali gus memastikan ia tidak pupus ditelan zaman.
Festival yang berlangsung selama empat hari turut menampilkan pelbagai pertandingan seni, persembahan kebudayaan, serta pameran makanan dan pakaian tradisional Bajau Sama.
Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) Datuk Japlin Akim, Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajausama Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana festival Datuk Kassim Razali.






























