WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Ketua Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan meletakkan jawatan serta-merta selepas seorang senator Republikan mendakwa beliau mempunyai hubungan yang terlalu rapat dengan China.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan, Tan, 65, yang sebelum ini mengetuai syarikat pembangunan cip Cadence, dilantik sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Intel pada Mac lalu selepas proses pencarian selama beberapa bulan.
Senator Tom Cotton menuduh Tan membenarkan Cadence, semasa di bawah kepimpinannya, menjual produk secara haram kepada sebuah universiti tentera di China serta menyalurkan teknologi kepada sebuah syarikat China.
Cotton turut mendakwa Tan mempunyai kawalan ke atas ‘puluhan’ syarikat di China.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata Tan mempunyai ‘konflik kepentingan yang serius dan mesti meletakkan jawatan serta-merta’.
“Tiada penyelesaian lain bagi masalah ini,” kata Trump.
Senator Cotton sebelum ini memberikan tempoh kepada Lembaga Pengarah Intel untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan itu sebelum pertengahan Ogos.
Intel, yang suatu ketika dahulu mendominasi industri semikonduktor dunia kini ketinggalan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Usaha syarikat itu untuk menguasai pasaran peranti mudah alih gagal apabila pesaing seperti Qualcomm dan TSMC memperkenalkan cip yang lebih cekap tenaga.
Dalam sektor kecerdasan buatan (AI), Intel juga berada di belakang pesaing utama seperti Nvidia yang mendahului dalam pembangunan sistem cip AI berprestasi tinggi.




























