Suasana hari ke enam KMJG 2025.
KENINGAU: Seramai 30 orang ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kampung Merampong menerima bantuan Sentuhan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025.
Bantuan berbentuk bakul makanan tersebut disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.40 Bingkor Junior Fred Vincent yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik dalam Program KMJG Peringkat Daerah Keningau.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor berkata bantuan berekenaan merupakan sebahagian daripada program yang disusun dalam konvoi KMJG kali ini bertepatan dengan tema Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’.
“Konvoi KMJG 2025 kali ini kita mengadakan pelbagai program dan aktiviti di sepanjang laluan kita mengelilingi negeri ini antaranya Karnival Kita Madani, Bakti Komuniti Madani, dan Sentuhan KMJG.
“Semua program yang telah disusun adalah selari dengan tema Sambutan Bulan Kebangsaan kita pada tahun ini iaitu Malaysia MADANI Rakyat Disantuni.
“KMJG tahun ini memberi peluang kepada peserta konvoi yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan banyak lagi untuk sama-sama turun menyantuni masyarakat di seluruh pelusuk negeri ini,” kata Jainisah semasa ditemui media di Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua yang menjadi persinggahan ke 21 selepas singgah di Kampung Merampong dan Kampung Ritting.
Tambah Jainisah lagi yang juga selaku ketua konvoi KMJG 2025, persinggahan tersebut sangat signifikan dengan sambutan Bulan Kebangsaan kerana ia mengingatkan kita akan sejarah kemerdekaan negara dari penjajah.
“Hari ini konvoi KMJG dibawa oleh Persatuan Chinese Chambers Keningau untuk singgah di Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua di daerah Keningau ini.
“Ianya sangat signifikan pada Hari Kebangsaan ataupun dengan Bulan Kebangsaan pada ketika ini yang mana di sini kami dapat mempelajari sedikit berkaitan dengan peristiwa sejarah berkaitan dengan bagaimana apabila sesuatu penjajahan itu berlaku sebenarnya kita akan hidup dalam kesengsaraan dan akan melibatkan korban nyawa untuk mendapatkan kebebasan.
“Maka kita berharap dengan persinggahan konvoi KMJG pada pertama kalinya di Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua ini akan dapat sedikit semuanya membangkitkan semangat kebangsaan dan patriotisme dalam kalangan peserta-peserta konvoi itu sendiri untuk lebih menghargai di masa hadapan nikmat kemerdekaan yang sedang kita kecapi pada ketika ini supaya terus dipertahankan untuk generasi-generasi kita yang akan datang,” tambah beliau.
Daerah Keningau merupakan daerah ke 10 yang telah dilalui oleh konvoi KMJG 2025 yang masuk hari ke enam dengan lebih 20 persinggahan.
























