Norhayati (tiga dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Jainisah (empat dari kanan).
KENINGAU: Program Sejati MADANI dapat membantu komuniti untuk menjana pendapatan daripada tumbuhan liar.
Meski sebelum ini dikenali sebagai tumbuhan liar, kini telah diubah menjadi sumber pendapatan yang signifikan bagi komuniti di Kampung Riting, Apin-Apin, Keningau.
Dalai merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh subur di kawasan yang sejuk dan berair, kini dapat ditanam secara komersial dan bijinya diinovasi menjadi pelbagai kraf tangan untuk memenuhi permintaan di seluruh Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Salah seorang pengusaha dalai Norhayati Abdullah, 51 berkata dalai telah lama dikenali sebagai ubat tradisional dan bijinya digunakan untuk membuat kalung serta gelang.
“Kini terdapat penambahan sentuhan moden melalui proses pengawetan dan rekaan-rekaan baharu yang menjadikan kraf tangan dalai lebih cantik dan bernilai tinggi selain pada tahun lalu kami di Komuniti Kampung Riting mendapat suntikan dana dari Sejati MADANI.
“Pada masa ini seramai 20 orang ahli komuniti terlibat secara aktif, bermula dari proses penanaman hingga penghasilan kraf tangan memandangkan kami menanam dalai ini di sekeliling rumah jadi dapatlah menjadi pendapatan tambahan kepada suri rumah.
“Kami turut sering dijemput di beberapa kawasan antaranya di Tamparuli, Kampung Pukak dan Kiulu untuk mengajar komuniti di sana mengenai kraf tangan dalai selain mempromosikan produk dalai kami” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Kampung Apin-Apin, Keningau.
Dalam majlis itu juga, Norhayati turut memberi peluang kepada para peserta konvoi untuk mencuba menyulam dalai sebagai cenderahati kepada mereka.
“Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah banyak membantu kami dalam memperkenalkan produk, tetapi turut mengukuhkan identiti budaya tempatan melalui warisan kraf tangan yang unik” katanya lagi.






























