Pelepasan konvoi dari McD Keningau.
KENINGAU: McDonald Malaysia (McD) Keningau menyambut ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 membuktikan tanggungjawab sektor swasta untuk menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan.
Pemilik Operasinya, Alex Cheah Pen Han berkata kerjasama ini menjadi bukti pihak swasta perlu turut saman memainkan peranan dalam menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan di seluruh negara.
“Program hari ini melibatkan Konvoi KMJG anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah dengan penglibatan sebanyak 20 buah kendaraan yang singgah di restoran ini.
“Kehadiran para peserta KMJG yang terdiri dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia, Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC), Shirba Proton Shirba Auto World Sdn Bhd, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) ini dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan dan para pelanggan juga turut teruja dengan kedatangan konvoi KMJG di sini.
“Kerjasama McD dengan program KMJG ini sebenarnya bermula di Muar yang menjadi permulaan KMJG dan konvoi ini akan menjelajah ke 16 buah restoran di seluruh Malaysia.
“Untuk Sabah McD Keningau telah terpilih untuk menjadi persinggahan konvoi KMJG dan ini membuat kami sangat gembira dan teruja,” kata beliau semasa ditemui media.
Alex turut berharap semua pihak samada masyarakat ataupun pihak swasta memainkan peranan dalam menyambut Bulan Kebangsaan.
“Saya berharap semua rakyat di Sabah ataupun di seluruh Malaysia dapat celebrate bulan kemerdekaan ini dengan penuh semangat.
“Kibarkan bendera di rumah, di premis makanan anda ataupun apa jua premis perniagaan di mana-mana sahaja kita berada,” tambah Alex lagi.
Kolaborasi tersebut telah dimulakan di Muar semasa Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 bertempat di Dataran Tanjung Emas pada 27 Julai lalu.
Konvoi KMJG 2025 yang masuk hari keenam telah melalui 416 km dengan 18 perhentian sebelum tiba di Keningau yang menjadi daerah ke 10.






























