Jainisah (kiri) turut serta menanam pokok sebagai sebahagian dari gimik perasmian acara kempen tersebut.
SIPITANG: Tahap kebersihan sesuatu tempat mencerminkan tahap kemajuan dan budaya sivik sesebuah komuniti itu.
Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Matbali Musah berkata kemudahan awam seperti tandas awam sering kurang mendapat perhatian walaupun sebenarnya ia melambangkan tahap kemajuan dan budaya sivik sesebuah masyarakat.
“Kemudahan tandas awam sering kita anggap remeh, tetapi hakikatnya ia adalah cerminan tahap kebersihan dan kemajuan sesebuah komuniti.
“Tandas yang bersih dan wangi bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pengguna, malah melambangkan budaya sivik yang tinggi.
“Saya menyeru agar semua pihak kakitangan penyelenggaraan, pihak berkuasa tempatan dan pengguna bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kemudahan ini.
“Ingatlah, kebersihan tandas adalah tanggungjawab bersama, dan kebersihan itu sebahagian daripada iman,” kata beliau lagi semasa berucap merasmikan Kempen Tandas Awam bersih BMW 2025 di Esplanade, di sini.
Matbali turut berharap projek dan kempen seperti itu mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap kemudahan awam seperti tandas awam yang sering menimbulkan persepsi yang kurang baik terutamanya dalam aspek kebersihan.
“Projek ini bukan sekadar membina ruang untuk keperluan asas, tetapi juga memastikan ia dijaga, diselenggara, dan dihias agar pengguna merasa selesa malah mungkin keluar dengan senyuman.
“Dengan kemudahan ini, kita mahu mengubah persepsi bahawa tandas awam itu tempat yang ‘perlu dielakkan’ menjadi tempat yang ‘tak segan nak masuk’,” ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Sipitang Hamsad Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor yang singgah ke daerah tersebut dalam misi mengelilingi Sabah bersama konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025
.






























