Irena Green (berbaju kuning) menceritakan pengalamannya ditahan dan dimasukkan ke penjara hanya kerana rumput di laman rumahnya kering.
FLORIDA: Seorang wanita di Florida ditahan selama seminggu di penjara selepas rumput di halaman rumahnya menjadi kering dan bertukar coklat akibat cuaca panas melampau.
Menurut Utusan Malaysia, ABC News melaporkan, mangsa, Irena Green, ditahan pihak berkuasa di Hillsborough County selepas syarikat pengurusan komuniti kediamannya, Trowbridge Company Inc., memfailkan saman terhadapnya kerana didakwa melanggar peraturan penampilan kawasan kejiranan.
Menurut Irena, keadaan rumput di pekarangan rumahnya memang sukar untuk sentiasa kelihatan hijau kerana terdapat sebatang pokok besar berhampiran laluan pejalan kaki yang menghalang cahaya matahari malah, katanya, sekatan penggunaan air turut dilaksanakan sejak tahun lalu berikutan musim kemarau.
Katanya, pihak pengurusan menghantar pelbagai notis pelanggaran termasuk mengenai rumput kering, peti surat yang kotor dan pemilikan sebuah van kargo.
Akibat tidak memberi maklum balas terhadap notis dan menolak permintaan untuk menyelesaikan isu itu melalui proses mediasi, persatuan pemilik rumah (HOA) bertindak memfailkan saman di mahkamah.
Menurut dokumen mahkamah, pada Julai tahun lalu, hakim memberikan tempoh sebulan kepada Irena untuk menyelesaikan pelanggaran tersebut, termasuk memperbaiki halaman rumahnya namun, apabila Irena gagal menghadiri perbicaraan seterusnya pada Ogos, waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Jelas Irena, dia tidak pernah menerima sebarang dokumen yang memaklumkannya perlu hadir semula ke mahkamah walaupun sudah beberapa kali menghubungi pihak berkenaan.
Tragedi itu memuncak apabila dia ditahan pada 23 Mei lalu ketika memandu pulang bersama anaknya dan dibawa ke penjara tanpa jaminan.
Menurutnya, tahanan lain turut terkejut apabila mengetahui puncanya ditahan hanya kerana rumput halaman rumah.
Sementara itu, dalam kenyataan kepada ABC News, Lembaga Pengarah HOA Creek View berkata Irena menerima beberapa notis pelanggaran tetapi gagal bertindak balas.
Mereka menjelaskan tindakan undang-undang diambil selepas kegagalan mematuhi arahan mahkamah sehingga membawa kepada waran tangkap tersebut.






























