Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Satu rakaman suara memaparkan perbualan antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dan ibunya, Noraidah Lamat, tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, rakaman berdurasi 44 saat itu memaparkan rasa takut yang dialami remaja itu terhadap seorang pelajar senior dikenali sebagai ‘Kak M’.
Rakaman itu dipercayai dirakam beberapa hari sebelum kejadian yang membawa kepada kematian Zara Qairina di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
“Mak, Zara takut terjumpa Kak M, dia masih lagi. Hari itu Zara minta tolong ada orang ini kan, cuba kau tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si Kak M masih lagikah dia ada masalah dengan aku.
“Lepas itu, Kak M itu bilang, ‘iya aku masih lagi nda maafkan si Zara’, mak,” kata suara dalam rakaman itu.
Ibu Zara Qairina turut bertanya sama ada mangsa sudah memadam namanya yang dipercayai ditulis di ruangan dalam bilik Rekabentuk dan Teknologi (RBT), lalu dijawab Zara, “Mak, Zara sudah padam, lepas itu dibuatnya balik.”
Rakaman itu turut memaparkan kebimbangan Zara Qairina terhadap ancaman yang pernah diterimanya.
“Kalau aku touch touch (sentuh) kau ni, berdarah-darah kau ini, kalau dia buat, apa jadi?,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, mengesahkan bahawa kertas siasatan kes kematian Zara Qairina diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam kenyataan berasingan, AGC memaklumkan sudah menerima laporan penuh siasatan awal daripada polis di dua peringkat, iaitu pada 3 Ogos daripada Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.
AGC menjelaskan, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan secara menyeluruh dari segi undang-undang dan fakta sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.






























