Ellron menerima penerangan daripada kontraktor mengenai status terkini pembinaan projek tersebut.
SOOK: Projek pembinaan Sekolah Agama Negeri Sabah (SANS) dan Tadika JHEAINS di Pekan Sook dijangka siap sepenuhnya pada 17 September 2025, menurut pihak kontraktor yang terlibat.
Maklumat tersebut dimaklumkan kepada ADUN Sook, Datuk Ellron Angin semasa lawatan kerja beliau ke tapak pembinaan kedua-dua bangunan kelmarin. Lawatan tersebut bertujuan meninjau sendiri perkembangan projek serta menilai keperluan infrastruktur dan kemudahan asas yang sedang dibangunkan.
Pembinaan SANS dan Tadika JHEAINS ini merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem pendidikan awal dan asas, terutamanya untuk anak-anak di luar bandar.
“Kita mahu memastikan semua anak-anak, termasuk yang berada di kawasan pedalaman, mendapat akses kepada pendidikan yang selesa dan berkualiti. Kemudahan pendidikan yang baik adalah asas kepada lahirnya generasi berilmu, berdisiplin dan berdaya saing,” kata Ellron.
Tadika JHEAINS akan menempatkan dua kelas bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun, dengan kapasiti 20 murid setiap kelas. Sementara itu, Sekolah Agama Negeri akan menyediakan lima bilik darjah bagi pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3, dengan anggaran kapasiti 60 orang murid setiap kelas, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 200 orang pelajar.
Lawatan tersebut juga memberi ruang kepada Ellron untuk menilai keperluan bilik guru, bilik mesyuarat, kantin serta tenaga pengajar, bagi memastikan kemudahan yang bakal disediakan benar-benar memenuhi keperluan murid dan pendidik apabila mula beroperasi pada tahun hadapan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiugan, wakil pemaju Syarikat Mizab Kinabalu Sdn Bhd, Agustan Mohd. Noor, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Sook, Ustaz Haslee Harimin, serta Penyelia Pendidikan JHEAINS Pedalaman Atas, Ustaz Nasaruddin Maznan.
“Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memastikan pembangunan pendidikan diperluas ke seluruh pelosok negeri demi masa depan anak-anak kita,” kata Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan.
































