Mohamad Latip Katik
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kunak, Mohamad Latip Katik menyelar kenyataan Presiden Change Advocate Movement Sabah (CAMOS), Daniel John Jambun yang mempertikaikan hujah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berhubung isu pelupusan hutang pendidikan PTPTN dan Yayasan Sabah.
Menurutnya, tuduhan Daniel kononnya fakta yang dibentangkan Nizam adalah “tidak berasas” hanyalah cubaan memutar belit untuk menutup kelemahan rekod pentadbiran pihak yang dipertahankan beliau.
“Daniel cuba menggambarkan kononnya janji pelupusan hutang itu adalah kesinambungan agenda reformasi yang terhenti akibat pengkhianatan politik. Namun hakikatnya, pihak yang beliau bela pernah menguasai kerajaan negeri hampir dua tahun, lengkap dengan sebuah Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Latip menjelaskan bahawa kewujudan kementerian tersebut hanyalah untuk tujuan kosmetik kerana tidak memiliki autonomi dalam bidang pendidikan, yang kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Mereka tiada kuasa untuk melaksanakan dasar besar seperti pelupusan hutang PTPTN atau pembinaan sekolah. Jadi, jangan salahkan orang lain atas kegagalan sendiri,” katanya lagi.
Rekod Pemerintahan Lalu Dipersoal
Latip turut mempertikaikan dakwaan Daniel kononnya pentadbiran terdahulu telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan.
“Program bantuan yang disebut itu hanyalah pada skala kecil, tidak menyentuh isu utama seperti pelupusan hutang atau pemberian biasiswa penuh. Geran tanah adat pula hanyalah kesinambungan dasar sedia ada. Malah banyak projek sekolah yang diwar-warkan ketika itu tertangguh dan disambung pelaksanaannya oleh Kerajaan GRS selepas mengambil alih,” ujarnya.
Pencapaian GRS Lebih Jelas dan Berimpak
Menurutnya, berbeza dengan pendekatan retorik politik, Kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Noor telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan yang memberi kesan nyata kepada rakyat.
Antaranya termasuk Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk pelajar B40; Program Dermasiswa Sabah Maju Jaya; Penambahan peruntukan biasiswa Yayasan Sabah; Usaha membaik pulih sekolah daif di luar bandar dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan; dan Bantuan khas kepada mahasiswa Sabah di Semenanjung dan luar negara.
“Semuanya dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa janji populis atau menjadikan hutang pendidikan sebagai modal politik menjelang pilihan raya,” katanya.
Cabaran Kepada CAMOS
Latip turut mempersoalkan cadangan Daniel mengenai pelupusan hutang yang dikatakan sebagai “keadilan” untuk rakyat.
“Jika benar ini satu keadilan, mengapa tidak laksanakan sewaktu berkuasa dahulu? Dan bagaimana mahu biayai pelupusan hutang ini tanpa menjejaskan kewangan negeri?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat, khususnya generasi muda Sabah, kini lebih bijak menilai antara rekod pencapaian dengan retorik kosong.
“GRS kekal fokus kepada agenda pembangunan, memperkukuh sistem pendidikan dan memanfaatkan hasil negeri demi kesejahteraan rakyat, bukan menabur janji lima tahun sekali,” tambahnya.






























