Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan untuk bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah antara yang tertinggi diperuntukkan kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil antara contoh Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di bawah RMK13, beliau berkata ia antara contoh perbelanjaan disediakan kerajaan untuk bumiputera.
Justeru itu, beliau membidas tuduhan pembangkang yang menyatakan RMK13 tidak memberi tumpuan kepada pembangunan bumiputera.
“RMK13 ini harus ditelaah kita semua. Jika tidak, (didakwa peruntukan) untuk Kampung Baru Cina kita beri, tapi bumiputera tidak ada. Maknanya, (orang yang dakwa itu) belum baca (dokumen RMK13).
“Ini Kerajaan Madani saja berani buat. Sebelum ini tiada, walaupun (pembangkang) uar-uarkan mengenai Melayu, bukan main bunyi berdentum dentam,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Di bawah RMK13, PuTERA35 antara lain memberi tumpuan kepada strategi 3P iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.
Tumpuan terus diberikan dalam mempersiapkan syarikat bumiputera untuk disenarai di Bursa Malaysia, antaranya melalui perlumbaan ‘relay’ yang bertujuan mengupayakan dan meramaikan usahawan seawal peringkat syarikat mula niaga hinggalah muncul sebagai syarikat tersenarai.
































