Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA : Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendakwa integriti siasatan kes kematian pelajar itu mungkin akan terjejas susulan penyebaran isu yang digelar plot twist di beberapa platform media sosial sejak minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat berkata, terdapat bayangan kematian Zara berpunca daripada kemurungan akibat ibunya sendiri sekali gus menunjukkan kemungkinan berlaku kebocoran daripada fail siasatan.
Peguamnya dalam kenyataan berkata, sekeping kertas yang digambarkan sebagai ‘diari’ Zara menjadi sumber kepada naratif itu malah dilabelkan sebagai bukti fizikal.
“Jika kertas itu sememangnya sebahagian daripada barangan peribadi Zara yang diambil dari lokernya di asrama oleh pihak polis selepas kematiannya.
“Ini bermakna seseorang membocorkan kandungan fail siasatan kepada umum untuk membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya,” kata kenyataan itu.
Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, anak guam mereka tidak mencari kemenangan dalam siasatan itu sebaliknya mahu keadilan untuk anaknya.
Kata kenyataan itu, keluarga sentiasa bersedia membantu pihak polis dalam siasatan.
“Oleh itu, hari ini, kami akan menyerahkan semua pakaian dan barangan peribadi Zara yang disebutkan di atas kepada polis. Pihak polis menghubungi kami semalam untuk tujuan ini,” katanya
Kedua-dua peguam itu turut berterima kasih kepada semua individu dan pihak yang membantu mengetengahkan kes ini dalam usaha mencari keadilan untuk Zara.
Bagaimanapun, mereka juga menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi yang boleh memfitnah mana-mana pihak.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu.


































