Muhammad Kifli Ma Hassan menunjukkan antara kereta mewah yang dikesan tidak membaharui cukai jalan dan insurans untuk tempoh lama dalam Op Luxury, baru-baru ini.
PETALING JAYA: Ferrari, Lamborghini milik selebriti, ahli perniagaan antara 1,000 kenderaan mewah dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans untuk tempoh lama.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan maklumat, kenderaan mewah itu tidak digunakan setiap hari sebaliknya dipandu pada hujung minggu dan hari tertentu.
“Namun begitu, perkara ini tetap menjadi satu kesalahan kerana cukai jalan dan insurans tidak diperbaharui dalam tempoh masa yang lama.
“Mungkin bagi individu ini, jarang guna menyebabkan tidak perlu memperbaharui cukai jalan dan insurans sedangkan itu merupakan satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli, JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya mengesan kenderaan mewah ini berada di atas jalan raya.
“Kita sudah kenal pasti pemilik kenderaan mewah ini, jika kita kesan kenderaan ini dipandu mereka dan berada di atas jalan raya kita akan ambil tindakan,” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan operasi besar-besaran akan dilaksanakan JPJ di seluruh negara bagi mengesan pemilik kenderaan mewah yang ingkar ini.
Operasi bersepadu menerusi Op Luxury itu menyasarkan pemilik-pemilik kenderaan mewah yang masih berdegil.
Justeru itu, JPJ mengingatkan agar pemilik kenderaan segera memperbaharui cukai jalan masing-masing sebelum tindakan sitaan dilaksanakan.
Sebelum ini, JPJ memaklumkan memiliki senarai lebih 1,000 kenderaan mewah di seluruh negara yang dikesan tidak memperbaharui cukai jalan untuk tempoh lama.
Malah, sebanyak 53 kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit setiap satu telah disita menerusi Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari di sekitar Lembah Klang bermula 30 Julai lalu.






























