KOTA KINABALU: Penduduk di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 8 malam pada 12 Ogos ini berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air Kasigui, Penampang.
Antara kawasan yang terlibat termasuk Pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Kepayan, Taman Sempelang, Likas, Taman Kingfisher, Inanam, Kolombong, Penampang, Donggongon, Taman Ramayah, serta sebahagian besar kawasan di Putatan seperti Kg. Petagas, Kg. Lok Kawi, Kg. Ketiau dan Taman Ketiau.
Menurut Jabatan Air Sabah, penutupan loji berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan dan penamatan kabel isyarat di Main Switchboard (MSB) 1 dan MSB 2 untuk pemantauan status pam dan Digital Power Meter (DPM) di Rumah Pam High Lift.
“Gangguan bekalan air akan berlaku di kawasan yang terjejas dan pemulihan semula akan dibuat secara berperingkat selepas kerja-kerja selesai,” menurut notis pemakluman dikeluarkan jabatan itu hari ini.
Jabatan Air Sabah menasihatkan pengguna di kawasan yang terjejas agar menyimpan air mencukupi dan menggunakan bekalan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada talian Careline Jabatan Air Sabah di 088-326888 (24 jam).
 
































