PETALING JAYA : Polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang mengambil kesempatan terhadap bantuan RM100 disalurkan di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seperti diumumkan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menjangkakan kegiatan sindiket berkenaan, akan kembali aktif untuk memperdaya orang ramai bagi mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan atas alasan kononnya untuk tujuan pengesahan bantuan.
Menurutnya, lazimnya sindiket itu akan menyamar sebagai wakil agensi kerajaan dengan menghubungi mangsa dan menghantar mesej palsu atau pautan phishing yang kelihatan rasmi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon.
“Sebaik sahaja maklumat seperti nombor akaun bank, nombor kad pengenalan atau kod OTP diperoleh, penjenayah akan mengakses akaun mangsa dan memindahkan wang tanpa disedari,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Walaupun tiada laporan polis diterima setakat ini berkaitan penipuan melibatkan program berkenaan, pihaknya memandang serius potensi eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyasarkan golongan rakyat yang memerlukan.
Beliau justeru menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi atau kewangan dengan individu tidak dikenali.
“Jangan mudah percaya dengan panggilan, mesej atau pautan yang mendakwa kononnya daripada agensi kerajaan yang menawarkan bantuan. Jangan sekali-kali menekan pautan yang mencurigakan atau mengisi maklumat peribadi di laman web yang tidak disahkan,” katanya.






























