Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal kes kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu, lapor Utusan Malaysia.
Mengesahkan sudah menerima laporan penuh siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut, jabatan itu berkata, proses penelitian merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan.
“Ia bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut AGC, laporan penuh siasatan awal PDRM berhubung kematian Zara Qairina masing-masing diterima pada kelmarin dan semalam daripada AGC Cawangan Sabah dan Ibu Pejabat Putrajaya.
“Jabatan ini menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelakkan daripada membuat sebarang penyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,” katanya.
Terdahulu, satu sumber keselamatan mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kertas siasatan yang diserahkan bagi penilaian AGC adalah di bawah siasatan mati mengejut (SDR).
Kata sumber keselamatan itu, kertas siasatan itu diserahkan kepada AGC untuk menentukan sebarang tindakan lanjut berkaitan siasatan kes kematian pelajar itu.
































