Donald Trump
PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan itu dibuat Trump melalui panggilan telefon awal pagi tadi.
“Saya maklumkan, baik tuan Presiden, saya akan umumkan (pengesahan kehadiran) di Parlimen hari ini,” katanya pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Selain Trump, antara negara rakan dialog ASEAN yang dijangka hadir ialah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan United Kingdom (UK)
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menjadi sidang kemuncak terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak 1976.
Ia disebabkan oleh penyertaan pelbagai negara bukan rakan dialog ASEAN yang mengesahkan kehadiran.
Antara pemimpin bukan rakan dialog ASEAN yang mengesahkan kehadiran setakat ini ialah Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Presiden Brazil, Luis Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.


























