Scott Bessent (kiri) dan Jamieson Greer berucap dalam sidang media di Rosenbad di Stockholm, Sweden.
STOCKHOLM: Rundingan perdagangan dua hari antara Amerika Syarikat (AS) dan China berakhir tanpa sebarang perjanjian untuk mengelakkan peningkatan semula tarif import yang boleh menjejaskan hubungan dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua pihak menyuarakan harapan rundingan yang dibuat akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.
Tanpa persetujuan dicapai, kedua-dua negara dijangka melaksanakan semula tarif import pada tahap tertinggi bermula 12 Ogos, tindakan yang boleh mengakibatkan sekatan perdagangan besar-besaran.
Bercakap kepada wartawan di Stockholm, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, menyifatkan pertemuan itu sebagai konstruktif dan menyatakan peluang untuk melanjutkan penangguhan tarif masih terbuka.
“Untuk meredakan spekulasi, rundingan ini sangat produktif. Kami cuma belum menerima kelulusan akhir,” kata Bessent.
Menurut mereka, keputusan mengenai sama ada penangguhan tarif akan dilanjutkan masih belum dibuat dan bergantung kepada Presiden AS, Donald Trump.
“Mengenai kemungkinan lanjutan, kami akan pulang ke Washington, berbincang dengan Presiden dan melihat sama ada itu sesuatu yang beliau mahu lakukan,” kata Greer.
Sementara itu Trump memaklumkan sudah menerima panggilan daripada Bessent dan mengesahkan pertemuan dengan pihak China berjalan dengan baik.
“Nampaknya mereka akan memberi taklimat kepada saya esok, dan kita akan putuskan sama ada untuk meluluskan lanjutan atau tidak,” kata Trump kepada media.
Trump juga berkata beliau merancang untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping sebelum hujung tahun ini.
Sementara itu, wakil Perdagangan Antarabangsa Kementerian Perdagangan China, Li Chenggang memberitahu media, kedua-dua pihak akan terus berusaha ke arah lanjutan yang dijadualkan.
AS dijangka akan menaikkan tarif ke atas berpuluh-puluh rakan dagang pada Jumaat sekiranya mereka gagal mencapai perjanjian dengan Trump bagi mengelakkan kadar lebih tinggi, langkah yang berisiko menaikkan harga barangan untuk pengguna.
Ahli ekonomi memberi amaran tarif lebih tinggi yang ditanggung pengimport produk asing, boleh meningkatkan kos perniagaan dan akhirnya membebankan isi rumah.
Tarif yang dicadangkan Trump itu bakal menjejaskan pelbagai barangan, terutamanya biji kopi, koko, beras, pakaian, makanan laut, dan barangan elektronik.
































