Hajiji (tengah) bersama Safar (kiri), Soh (empat dari kanan), Wong (empat dari kiri) dan ahli SLRAC selepas majlis penyampaian watikah pelantikan.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Penasihat Reformasi Undang-Undang Sabah (SLRAC) sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, memperkukuh tadbir urus serta menggalakkan reformasi undang-undang di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan SLRAC merupakan inisiatif penting yang bertujuan memodenkan dan memperbaiki kerangka undang-undang di Sabah agar lebih berkesan memenuhi keperluan rakyat.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pandangan serta syor yang bernas daripada SLRAC yang dijangka menjadi asas kepada reformasi undang-undang yang bermakna dan berkekalan di Sabah,” katanya.
Menurut Hajiji, inisiatif ini juga selaras dengan visinya untuk melihat Sabah sebagai negeri yang progresif, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan, di mana pembangunan undang-undang bergerak seiring dengan kemajuan sosial dan ekonomi, sambil mengekalkan warisan unik negeri ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada para ahli SLRAC yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, dalam satu majlis di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Ahli majlis lain ialah Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr. David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Shakinur Ain Karama, manakala Janice Junie Lim akan berkhidmat sebagai Setiausaha.
SLRAC merupakan sebuah badan penasihat bebas dan berkecuali yang bertanggungjawab menjalankan kajian menyeluruh terhadap undang-undang sedia ada di peringkat negeri serta mencadangkan reformasi khusus untuk meningkatkan kejelasan, kecekapan, keadilan dan kerelevanan undang-undang.
Majlis itu juga akan memastikan cadangan reformasi yang dikemukakan kekal berakar pada nilai, adat resam serta realiti sosio-budaya yang unik di Sabah.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.
 






























