NEW DELHI: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun di negeri Bihar, India, nyaris maut apabila menggigit kepala seekor ular tedung yang disangkanya mainan.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, Govinda Kumar sedang bermain di rumahnya di Kampung Bankatwa pada 25 Julai lalu, apabila seekor ular tedung sepanjang hampir satu meter menghampirinya.
Kanak-kanak itu menyangka haiwan berbisa itu adalah mainan lalu cuba menangkapnya, lapor Times of India.
Ular tedung itu dilaporkan melilit tangan Govinda, menyebabkan kanak-kanak terbabit terkejut dan secara pantas mengigit kepada haiwan tersebut hingga putus.
“Dia membunuhnya serta-merta,” kata neneknya, Mateshwari Devi.
Kanak-kanak itu kemudian pengsan dan segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dia kemudian dipindahkan ke Kolej Perubatan dan Hospital Kerajaan Bettiah untuk rawatan pakar, selepas dipercayai tertelan sedikit bisa ular tersebut.
Pakar Jabatan Pediatrik hospital berkenaan, Dr Saurab Kumar memberitahu The Telegraph, Govinda kemungkinan besar terselamat kerana bisa ular tidak memasuki aliran darahnya.
Katanya, kanak-kanak itu menggigit ular tedung tersebut, tetapi ia tidak sempat mematuknya.
“Saya menerima pesakit dalam keadaan sedar dan aktif, namun mulut dan wajahnya membengkak akibat tindak balas terhadap bisa di dalam rongga mulut,” katanya.
Govinda dibenarkan keluar hospital pada 26 Julai lalu.
Bisa ular tedung mengandungi neurotoksin yang boleh menjejaskan sistem saraf, merosakkan tisu serta sel darah.

































