PENAMPANG: Polis Penampang berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di Putatan, berdasarkan satu video tular yang mencetuskan kebimbangan awam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Putatan.
“Suspek ditahan di tepi jalan di Putatan pada 28 Julai 2025 sekitar jam 6 petang susulan laporan polis yang dibuat pada 22 Jun lalu, berhubung insiden melibatkan pelajar perempuan di sebuah kawasan di Putatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pihak polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat penting mengenai suspek serta memuji kecekapan pasukan polis dalam mengesan dan menahan individu terbabit.
“Syabas dan tahniah kepada pegawai dan anggota Balai Polis Putatan yang efisien dalam usaha mengesan suspek sehingga berjaya diberkas,” katanya lagi.
Polis menegaskan komitmen untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti jenayah sedemikian di sekitar kawasan mereka.
































