Lokasi kemalangan itu.
PENAMPANG: Polis sedang giat memburu pemandu sebuah kenderaan yang terlibat dalam kes langgar lari mengorbankan seorang wanita tempatan dan mencederakan anak kecilnya dalam kejadian di Jalan Kampung Kimbabangan, di sini, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 27 Julai kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa berusia 38 tahun sedang berjalan kaki bersama anak lelakinya yang berusia satu tahun lima bulan sebelum dilanggar oleh kenderaan yang belum dapat dikenal pasti.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 28 Julai jam 3.15 pagi ketika dirawat di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I. Manakala anaknya kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kanak-Kanak Likas,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kenderaan terlibat supaya tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Trafik IPD Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.


































