KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Konsultasi Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta, hari ini.
Setibanya di istana, Perdana Menteri memperkenalkan Hajiji kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. (Gambar)
Hajiji diiringi delegasi kanan Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Ag. Sahari; serta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew.
Hajiji dan rombongannya tiba di Jakarta kelmarin dan turut menghadiri mesyuarat pra-majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebagai persediaan bagi konsultasi dua hala tersebut.
Mesyuarat Konsultasi Tahunan Malaysia-Indonesia merupakan platform penting bagi memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan kerjasama pembangunan antara kedua-dua negara.


































