MANILA: Sekurang-kurangnya 30 nyawa terkorban di Filipina akibat kesan fenomena monsun barat daya menyaksikan tiga siklon tropika membadai negara ini sejak minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan pihak berkuasa Filipina hari ini melaporkan, bencana alam ini mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa kawasan.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) dalam laporan terkininya memaklumkan bahawa tujuh individu masih dilaporkan hilang, dipercayai sama ada dihanyutkan arus deras atau tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.
Selain itu, sekurang-kurangnya 10 orang cedera akibat bencana ini.
NDRRMC turut melaporkan lebih 1.46 juta keluarga melibatkan sekitar 5.3 juta penduduk di seluruh negara terjejas akibat bencana ini.
Sementara itu, Pejabat Pertahanan Awam Filipina memaklumkan sebanyak 88 bandar dan majlis perbandaran telah mengisytiharkan darurat bencana.
Langkah ini diambil bagi mempercepatkan operasi bantuan kecemasan dan memudahkan pengagihan sumber yang diperlukan kepada mangsa.
Tiga siklon tropika iaitu Wipha, Francisco dan Co-May kini sudah reda.
Namun, Jabatan Meteorologi Filipina memberi amaran monsun barat daya dijangka masih membawa hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, khususnya di kawasan pulau Luzon.
Filipina secara purata dilanda kira-kira 20 taufan setiap tahun, menjadikannya antara negara yang paling terdedah kepada bencana alam di rantau ini.