Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar (kanan) menerima kunjungan Mohd. Syahbuddin Hashim (dua dari kanan) di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Seorang lelaki yang pernah mencipta rekod sebagai manusia tertinggi di Malaysia terpaksa hidup berkurung dalam rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, di sini selepas menghadapi sakit tulang dan tidak dapat berjalan sejak dua tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar, 31, yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai manusia tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 2.11 meter pada 2013 kini terbatas pergerakannya apabila hanya mampu duduk dan merangkak untuk bergerak.
Katanya, masalah sakit tulang yang dihadapi menyebabkannya tidak boleh berdiri dan berjalan.
Menurutnya, dia sudah dua tahun tidak keluar rumah dan hanya menjalankan perniagaan menjual kad koleksi di aplikasi TikTok dengan meraih pendapatan kira-kira RM500 sebulan.
“Saya tidak boleh berdiri dan berjalan sejak dua tahun lepas. Kalau nak ke tandas atau ke mana-mana saya terpaksa merangkak.
“Saya hanya mampu melakukan kerja secara dalam talian termasuk melakukan siaran langsung di platform TikTok menjual kad koleksi Pokemon,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Kesedar Perkilangan Sdn. Bhd. (KPSB), Mohd. Syahbuddin Hashim di rumahnya di RKT Kesedar Paloh 3.
Mohd. Azli Hisyam yang sebelum ini mengusahakan kolam ternakan udang kara terpaksa menyerahkan kepada bapanya untuk diuruskan.
Dia berharap dapat berjalan semula dan bersedia melakukan rawatan untuk memulihkan penyakit yang dialami.
Bapanya, Abdul Ghafar Omar, 79, berharap anak ketujuh daripada lapan beradik itu tabah dan sentiasa kuat semangat untuk mengubati masalah kesihatan yang dihadapinya.
Katanya, pada 2018, anaknya itu pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kepala di Hospital Kuala Lumpur dan menjalani rawatan susulan.
“Urusan kerja dia tidak lupa dan fikirannya juga tidak berubah. Kesihatannya menyebabkan dia tidak dapat keluar rumah dan memandu kenderaan seperti dahulu,” katanya.
























