Pistol mainan itu diperbuat daripada plastik berwarna terang.
TOKYO: Pihak berkuasa Jepun berjaga-jaga selepas ribuan pistol mainan plastik yang dijadikan hadiah dalam mesin ‘claw’ di seluruh negara itu didapati berupaya menembak peluru hidup.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) dalam satu amaran terbaharu mendedahkan sebanyak 16,000 pistol mainan yang diimport dari China sudah diedarkan ke seluruh Jepun sebagai hadiah permainan, namun hasil pemeriksaan menunjukkan senjata itu boleh digunakan sebagai senjata api sebenar.
Pistol mainan yang dikenali sebagai ‘Real Gimmick Mini Revolver’ itu kelihatan tidak berbahaya pada pandangan mata kasar kerana diperbuat daripada plastik berwarna terang serta dilengkapi lapan butir peluru plastik namun, pemeriksaan teknikal mendapati struktur dalaman pistol berkenaan membolehkan ia digunakan untuk melepaskan peluru sebenar.
Dalam senarai yang dikeluarkan NPA, terdapat 16 jenis pistol mainan buatan China yang disahkan boleh menembak peluru hidup dan berpotensi menyebabkan kecederaan parah atau kematian.
Semua model tersebut mempunyai tukul logam (metal hammer) atau plastik keras yang cukup kuat untuk mencetuskan letupan peluru, selain laras yang cukup besar untuk memuatkan peluru berkaliber kecil.
“Pemilikan senjata seperti ini mungkin melanggar Undang-Undang Kawalan Pedang dan Senjata Api di Jepun. Orang ramai yang memilikinya diminta untuk segera menyerahkan senjata ini ke balai polis berdekatan,” jelas kenyataan NPA.
































