Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Asisten Superintenden Mohd Hafidzal Zainal Abidin menunjukkan sebahagian daripada 15 motosikal yang terbabit dalam nahas di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Seremban awal pagi kelmarin.
SEREMBAN: Tiga pelajar sebuah kolej di Selangor maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan 15 buah motosikal yang sedang berkonvoi selain sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu mendapati kumpulan motosikal ditunggang secara berkumpulan di lorong tengan dan kanan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiga buah motosikal dalam kumpulan yang berada di hadapan telah bergesel dan berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke atas jalan raya.
“Kejadian mengakibatkan 12 buah motosikal lain yang sedang bergerak dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar tiga buah motosikal tersebut. Akibat pelanggaran itu, semua yang terlibat turut terjatuh di atas jalan.
“Pada masa yang sama, sebuah kereta dan sebuah lori turut dilanggar oleh sebahagian daripada 12 buah motosikal terbabit pada bahagian belakang dan sisi kanan kenderaan. Akibat kemalangan ini, kedua-dua penunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan seorang penunggang motosikal jenis tidak pasti berusia lingkungan 18 hingga 20-an telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Ujar Mohamad Hatta lagi, 12 penunggang motosikal yang lain telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, dua orang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan dirawat di unit rawatan rapi hospital yang sama.
“Ketiga-tiga mangsa penunggang motosikal yang maut telah dibawa oleh pihak polis ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan tiga orang maut selepas terlibat nahas membabitkan kumpulan motosikal yang dipercayai sedang berkonvoi dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, awal pagi kelmarin.
Kesemua yang terbabit nahas dalam perjalanan dari sebuah kedai makan di Seremban dan memasuki lebuh raya menuju ke arah utara.


























