Peter Cklamovski
PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memberi bayangan beberapa pemain muda berdarah Malaysia yang menetap di luar negara berpotensi menyertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026, September ini.
Menurut Utusan Malaysia, Cklamovski menjelaskan, usaha mengenal pasti bakat ‘Malaysia Abroad’ sedang giat dijalankan dan beberapa calon pemain sudah pun dikenal pasti tetapi prosesnya memerlukan masa dan perlu melalui beberapa peringkat penting sebelum sebarang pengesahan dibuat.
“Ya, kami melihat kemungkinan menyerap pemain warisan ke dalam skuad B-23. Beberapa nama sudah dikenal pasti, mengikut kumpulan umur masing-masing. Tapi saya tidak mahu mendedahkan identiti mereka buat masa ini kerana ia masih dalam proses,” jelas Cklamovski ketika ditemui dalam sesi santai bersama media, semalam.
Ketika ditanya sama ada pemain-pemain ini mereka sempat didaftarkan untuk aksi kelayakan akan datang, pengendali dari Australia itu memilih untuk bersikap realistik.
“Saya tidak boleh berikan jaminan. Ia di luar bidang kuasa saya buat masa ini. Tapi kami sedang berusaha ke arah itu,” ujarnya.
Gesaan untuk menyerap pemain warisan ke dalam skuad Harimau Muda semakin kuat apabila Malaysia tersingkir awal dalam saingan Piala ASEAN B-23 di Indonesia baru-baru ini.
Ramai penyokong percaya penambahan pemain luar negara berdarah Malaysia seperti mana dilakukan skuad senior mampu memberi suntikan kekuatan baharu kepada pasukan muda negara.
Cabaran yang menanti skuad B-23 dalam Kelayakan Piala Asia bukan calang-calang, dengan Malaysia diundi bersama Thailand (selaku tuan rumah), Lubnan, dan Mongolia dalam saingan yang akan berlangsung di Bangkok.
Cklamovski percaya pengalaman pahit di Piala ASEAN perlu dijadikan pengajaran terbaik buat skuad kendalian Nafuzi untuk bangkit lebih kuat dengan membuktikan kemampuan sebenar bagi mendapatkan tempat di Piala Asia B-23 2026 di Arab Saudi.
“Skuad B-23 perlu belajar daripada pengalaman di Piala ASEAN. Gunakan ia sebagai motivasi dan persiapan mental menjelang kelayakan nanti,”jelasnya.
Walaupun bukan pengendali skuad B-23 secara langsung, Cklamovski menekankan bahawa kerjasama antara pasukan kebangsaan dan skuad muda perlu ditingkatkan, termasuk dalam hal merekrut bakat pemain warisan.
Usaha memburu tiket ke pentas Asia bukan sekadar bergantung kepada taktikal di atas padang, tetapi juga kepada perancangan dan pembangunan jangka panjang termasuk meneroka potensi luar negara yang mempunyai darah Malaysia.