Keadaan warga emas ketika pasukan MOCSAR memberi bantuan awal bagi menghentikan pendarahan di kepala mangsa sementara menunggu Unit Udara Bomba ke lokasi bagi menghantar mangsa ke Hospital Miri di Sarawak bagi mendapatkan rawatan lanjut.
MULU: Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan serius di kepala selepas terjatuh di Gunung Api di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 12.45 tengah hari, ketika mangsa yang berusia 75 tahun bersama-sama kumpulan pendaki serta diiringi pemandu pelancong sedang menuruni gunung berkenaan.
Katanya pasukan MOCSAR dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi telah dikerahkan ke lokasi setelah menerima laporan mengenai mangsa yang terjatuh kira-kira 500 meter.
Beliau berkata mangsa berjaya dibawa turun ke Kem 5 iaitu tempat penginapan untuk pendaki sebelum dan selepas melakukan pendakian di Gunung Api, namun mengalami kecederaan yang serius di kepala.
“Pasukan MOCSAR bergegas ke lokasi dan memberi bantuan awal untuk menghentikan pendarahan di kepala mangsa.
“Pusat Gerakan Operasi Sarawak kemudian memohon bantuan unit udara untuk mengambil mangsa di lokasi tersebut untuk dihantar ke hospital memandangkan mangsa dalam status sedar namun mengalami kecederaan serius, pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah mangsa telah dihantar ke Hospital Miri menggunakan pengangkutan udara daripada syarikat Layang-Layang Aerospace Miri Sdn. Bhd. bersama pasukan perubatan dari Hospital Miri.
Pendakian di Gunung Api merupakan antara tarikan di Taman Negara Mulu untuk melihat Mulu Pinnacles, yang menjadi ikon di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.


























