Dua penjenayah maut selepas ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan awal pagi tadi.
KUALA LUMPUR: Polis menembak mati dua lelaki warg asing yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah sejak tahun 2022 hingga menyebabkan kerugian lebih RM3 juta.
Malah, kumpulan terbabit dikesan turut mencederakan mangsa mereka.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic itu dikesan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Pahang yang melakukan tugasan cegah jenayah melalui Op Aman 6, pada 3.45 pagi tadi di kawasan Taman Pertama, Cheras di sini.
Kereta dinaiki suspek terbabit dipercayai kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit satu laporan di Subang Jaya pada tahun 2023.
Pemangku Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek bertindak agresif ketika pihak polis cuba memintas kereta mereka bagi tujuan pemeriksaan.
Katanya, suspek cuba melakukan halangan dengan melanggar kenderaan pasukan polis selain turut melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri.
“Suspek kemudiannya disahkan mati di dalam kenderaan dinaiki mereka ditempat kejadian akibat terkena tembakan.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta membawa kepada penemuan dua pucuk senjata api berupa revolver dan semi auto, dadah dan peralatan yang digunakan suspek bagi tujuan melakukan jenayah samun dan pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pagi tadi.
Fadil berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka adalah dalang kepada sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah yang dianggotai seramai 15 warga asing.
“Kumpulan terbabit menyasarkan unit kediaman mewah seperti banglo, rumah tepi (corner lot) dan end lot di sekitar Lembah Klang selain turut aktif menyamun di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
“Kita juga percaya, kedua-dua suspek ini dalam perancangan untuk melakukan jenayah samun berdasarkan penemuan peralatan samun seperti pemotong besi, sarung tangan, sarung muka serta senjata api dan dadah,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini semua elemen JSJ di Kontinjen KL, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sudah digerakkan bagi memburu dan mengesan baki 13 lagi suspek yang juga ahli kumpulan terbabit.
Katanya, beliau percaya kumpulan itu terlibat denga 50 kes samun dan pecah rumah namun kemungkinan jumlah mangsa lebih ramai akibat mereka tidak membuat laporan polis.
“Sehubungan itu, pihak polis menyeru kepada mereka yang menjadi mangsa samun kepada kumpulan ini supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran selain mengalu-alukan sebarang maklumat tentang situasi mencurigakan.
“JSJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah kekerasan yang boleh menggusarkan masyarakat di negara ini dan akan memerangi mereka secara habis-habisan,” katanya.