PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan kewujudan bahan sintetik di dalam vape dan rokok elektrik namun tiada penemuan dadah ‘cendawan ajaib’ seperti yang digembar-gemburkan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiada bukti rasmi ditemukan mengenai penjualan cendawan kering sebenar atau campuran dadah di dalam coklat atau gula-gula.
Katanya, ini disahkan oleh Jabatan Kimia melalui ujian terhadap dadah yang dirampas JSJN sekali gus membuktikan bahawa dakwaan tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halisonogen semula jadi adalah tidak tepat.
Malah ia merupakan manipulasi oleh pengedar dadah yang melabelkan bahan sintetik sebagai cendawan ajaib.
“Trend penggunaan vape yang dikaitkan dengan cendawan ajaib dan bahan yang mengandungi dadah sintetik dalam kalangan remaja kini mendapat perhatian JSJN sejak sekian lama.
“Kejadian seperti ini, walaupun terpencil telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pelajar.
“Demi menjaga kepentingan umum, isu ini dipandang serius oleh JSJN kerana ia melibatkan pelajar sekolah yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan meragukan, termasuk yang dikaitkan dengan ‘cendawan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hussien berkata, JSJN telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan risikan berhubung dakwaan vape ‘cendawan ajaib’ di seluruh negara.
Katanya, berdasarkan rekod rampasan cecair vape dari tahun 2024 hingga Mac lalu, sebanyak 64 kes direkodkan sepanjang tahun 2024.
“Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 32 kes telah dicatatkan sekali gus menunjukkan peningkatan purata bulanan yang ketara berbanding tahun sebelumnya,” jelasnya.
Ujarnya, hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia terhadap data rampasan cecair vape oleh JSJn dalam tempoh tersebut menunjukkan trend peningkatan.
“Bahan terlarang utama yang dikesan ialah ganja sintetik seperti MDMB-4en-PINACA analognya.
“Ini menunjukkan modus operandi yang semakin lazim iaitu mencampurkan bahan kimia psikoaktif ke dalam cecair vape,” katanya.
Dalam pada itu, Hussien berkata, terdapat juga kes pencampuran dadah stimulan seperti Methapemine dan MDMA yang amat membimbangkan kerana memperkenalkan bentuk penyalahgunaan baharu melalui peranti elektronik ini.
“Majoriti kes mengesahkan kewujudan dadah terlarang, membuktikan bahawa penyalahgunaan vape sebagai medium penghantaran dadah adalah nyata dan perlu ditangani secara serius.
“Yang paling penting, masyarakat harus merujuk kepada maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti kenyataan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau agensi kesihatan.
“Elakkan menyebarkan berita tular tanpa pengesahan kerana ia boleh mencetuskan panik yang tidak berasas,” tegasnya.
































