Polis Thailand menemukan 59 pil ekstasi yang menyerupai wajah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang penghantar makanan dalam sekatan jalan raya di Bangkok, selepas menemukan 59 pil ekstasi yang menyerupai wajah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, suspek berusia 35 tahun itu ditahan dalam operasi rutin penguatkuasaan trafik dan membanteras jenayah di Jalan Lat Phrao, di ibu negara pada Isnin lalu.
Menurut media tempatan, suspek cuba mengelak pemeriksaan sebelum berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki 59 pil ekstasi bersama beberapa barangan lain, yang membawa kepada penahanannya.
Ujian air kencing awal turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine, dengan keputusan itu kemudian disahkan oleh pakar perubatan.
Ketika disoal siasat, suspek yang bekerja sebagai penunggang penghantaran mengaku memperoleh dadah berkenaan untuk kegunaan peribadi.
Polis memaklumkan, tiada bukti yang menunjukkan suspek berniat untuk mengedar dadah tersebut.
Dia kini didakwa atas kesalahan memiliki pil ekstasi, menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah dan penggunaan dadah secara haram.
Suspek juga dipindahkan ke Balai Polis Chok Chai bersama bukti yang dirampas untuk siasatan lanjut dan prosiding undang-undang.




























