KUALA LUMPUR: Terdapat dua insiden yang dilaporkan dan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki didalangi oleh agensi perisikan asing.
Menurut Utusan Malaysia, dua kes itu melibatkan kes penculikan warga Palestin dan kes memiliki enam pucuk senjata api yang didalangi oleh kumpulan ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, PDRM sentiasa bersedia dalam usaha mencegah dan menangani pelbagai ancaman luaran yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara.
Kata beliau, ia termasuklah sebarang agenda yang dibawa oleh agensi perisikan asing yang mungkin cuba campur tangan atau mengganggu-gugat kestabilan dan kedaulatan negara.
“Pelbagai mekanisme telah diambil oleh PDRM bagi memantau kemasukan warga negara asing yang masuk daripada pintu masuk negara.
“Dalam usaha ini, PDRM menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Mohd. Khalid menegaskan, PDRM turut memberi perhatian serius terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di negara ini termasuk mereka yang bermastautin atau berada atas urusan pekerjaan seperti perunding asing.
Ujar beliau, dalam tindakan menjamin keselamatan warga Palestin yang menetap lama di Malaysia, mereka dinasihatkan mengamalkan gaya hidup berprofil rendah bagi mengelakkan menjadi sasaran terpilih.
“Mereka juga boleh melaporkan kepada pihak polis sebarang perlakuan yang mencurigakan ke atas mereka.
“PDRM turut menjalin kolaborasi strategik dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam aspek keselamatan negara melalui pertukaran maklumat dan pandangan secara berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa,” jelasnya.
Khalid berkata, PDRM kekal komited dalam memastikan keselamatan malaysia serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Malaysia menjadi sasaran ejen perisikan Israel, Mossad susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan Gaza dan hubungan baik dengan Iran.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan perisik antarabangsa termasuk Mossad memang dikenal pasti telah menghantar ejen mereka ke negara ini termasuk penggunaan pasangan suami isteri rakyat tempatan yang dipercayai bersubahat dengan agensi itu.
Beliau turut merujuk kes lampau membabitkan pembunuhan pensyarah Palestin, Dr. Fadi M R Al Batsh Fatma di Setapak pada 2018 yang dipercayai didalangi ejen asing, selain beberapa tindakan lain yang telah dikenal pasti akan diambil tindakan.
Antara kes terkini ialah pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang dipercayai bekerjasama dengan ejen perisikan Israel, Mossad untuk menyeludup senjata dari Thailand.
Mereka bagaimanapun telah ditahan dan kini berada di dalam penjara.
Atas dasar itu, kerajaan sudah mengambil langkah tambahan termasuk melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengenal pasti tindakan terbabit dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.
Beliau berkata demikian, menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai langkah kerajaan bagi mengelakkan kemasukan ejen Mossad ke negara ini.




























