Anwar Ibrahim berucap ketika Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan, Putrajaya.
PETALING JAYA: Lima langkah termasuk penetapan harga RON95 sebanyak RM1.99 merupakan langkah tambahan oleh kerajaan untuk membantu dan meringankan beban rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu melihat masalah rakyat secara menyeluruh dan berusaha mencari penyelesaian.
Katanya, meskipun langkah yang diumumkan kerajaan itu mencetuskan perbincangan pelbagai pihak, mereka seharusnya melihat usaha tersebut secara keseluruhan.
Menurut beliau, tidak ada satu pengumuman tunggal yang boleh menyelesaikan semua masalah negara termasuk Belanjawan 2026, sebaliknya kerajaan akan terus berusaha membantu rakyat.
“Dia tak ada umpamanya satu pengumuman yang boleh menyelesaikan semua masalah. Belanjawan 2026 pun tidak mungkin menyelesaikan semua masalah negara kita. Jadi kita akan cuba.
“Apa dia pengumuman penting Belanjawan 2026? Belum lagi. Kita mesyuarat petang ini. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan kerana saya tahu kejayaan kita ini tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan semua termasuk penjawat awam,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Katanya, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu terus meneliti dan memastikan sebarang kelemahan, kebocoran atau ketirisan dapat ditangani kerana isu itu dianggap lebih penting.
Anwar berkata, rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi penguatkuasaan telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
Sementara itu, Anwar berkata, bahawa amalan pembaziran dan penyelewengan yang telah menjadi budaya mesti dihentikan segera.
Beliau turut hairan kerana isu rasuah kini jarang dibangkitkan oleh pembangkang, sedangkan ketika beliau berada di blok itu dahulu, agenda memerangi rasuah menjadi keutamaan.
Tambah beliau, apabila kerajaan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah, ada yang cuba mempertahankan mereka dengan alasan sudah tua atau telah meninggal dunia.
“Kita kena hentikan amalan boros dan sakau yang menjadi budaya kita. Sebab itu kalau kita lihat dalam kalangan pembangkang tak banyak bicara soal rasuah. Heran, kalau saya dulu masih pembangkang rasuah itu nombor satu.
“Sekarang, apabila kita mengambil tindakan terhadap kes rasuah, ada pula yang bersimpati dengan alasan pelaku sudah tua atau telah tiada. Kita bukan nak hukum orang mati, kita nak ambil balik duit yang dia ambil itu dengan cara tidak sah tapi kita boleh senang tak ada apa-apa serta tidak ada kesan.
“Maknanya guna ruang parlimen pembangkang untuk mempertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion-bilion yang tidak tahu meniaga apa,” katanya.

























