Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) 2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan untuk menoktahkan golongan miskin tegar dan mengurangkan sekurang-kurangnya 33 peratus orang miskin menjelang akhir tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, inisiatif yang menggunakan berpaksikan ‘whole of nation approach’ atau pendekatan seluruh negara, dilaksanakan hasil kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta yang kini sudah pun mengumpulkan dana sebanyak RM120 juta.
Perdana Menteri berkata, dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara gagah dan hebat ia bermula dengan kepimpinan yang bertanggungjawab, mengelak ketirisan dan rasuah.
Katanya, ia tidak akan berhasil tanpa kekuatan syarikat swasta sehingga menembus pasaran antarabangsa seperti Mesir, Itali, Perancis, Peru, Brazil dan lain-lain.
Tambahnya, hasil pelaburan dan perdagangan itu, kerajaan memulangkan semula sebahagian daripadanya kepada rakyat supaya turut mengecapi nikmat.
“Tetapi dalam hal ini, ada golongan yang dipanggil kumpulan rentan yang miskin yang patut ditangani. Sasaran saya dengan rakan-rakan Jemaah Menteri ialah kalau boleh noktahkan kemiskinan tegar ini, itu hasrat kami.
“Berdasarkan angka-angka tahun 2023 dan 2024, kita dapat atasi (kemiskinan tegar) walaupun jumlah itu akan kemudian muncul, tetapi ia jauh lebih rendah berbanding dulu,” katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) 2025, di sini, hari ini.
































