KUALA LUMPUR: Sebanyak 778,500 kes kehilangan MyKad akibat kecuaian direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2022 hingga 2024.
Selain itu, JPN merekodkan 3,422,022 kes melibatkan kerosakan dan 138 kes berkaitan pemalsuan dokumen sepanjang tempoh tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memandang serius isu pemalsuan MyKad kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara serta berpotensi menjejaskan integriti sistem pengurusan identiti warganegara.
Katanya, bagi membanteras aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan, JPN sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Buat masa ini, Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN–Kuantan) berhubung jumlah kes kehilangan, kerosakan, kecurian dan pemalsuan MyKad dari 2022 hingga 2024 serta sama ada kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen pengenalan itu.
Menurut Saifuddin, kerajaan kini sedang memuktamadkan pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) yang dijadual dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini.
“Pindaan itu antara lain bertujuan mewujudkan peruntukan bagi kesalahan yang boleh dikompaun. Kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun ini akan diperincikan dan dipinda di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 selepas pindaan Akta 78 diluluskan,” katanya.




























