KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuat pusat spa di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew di sini semalam selepas disyaki menawarkan khidmat seks dan layanan wanita.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu susulan operasi kira-kira pukul 3.15 pagi itu dijalankan Unit Pencegahan (Perjudian) Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berdasarkan hasil maklumat dan risikan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, operasi telah menahan 54 individu membabitkan sembilan tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 19 hingga 54 tahun.
Menurutnya, tangkapan melibatkan 33 wanita dan 21 lelaki itu terdiri daripada sembilan tempatan, China (26 orang), Myanmar (16 orang) dan Bangladesh (3 orang).
“Siasatan awal mendapati wanita warga asing terbabit disyaki menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM1,700 selain gadis pelayan pelanggan (GRO).
“Pelbagai barang dirampas antaranya resit perniagaan, risalah promosi urutan dan spa, mesin pengimbas cap jari, telefon bimbit, gel pelincir, kondom serta wang tunai,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, serbuan turut menemukan peralatan mini kasino antaranya meja poker, daun terup, dadu dan ratusan kepingan cip warna hijau, hitam, merah dan kuning.
Tambahnya, siasatan awal mendapati premis dipercayai mula beroperasi sejak awal bulan ini dan pelanggan hadir secara ‘walk in’ untuk mendapatkan khidmat urut atau seks.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.