Teo Nie Ching – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR 23 Julai: Sebanyak 121 kes penipuan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk pemimpin utama negara dan ahli politik direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penipuan siber kini menggunakan golongan berpengaruh dengan menggunakan taktik penyamaran, penyebaran maklumat palsu dan penyalahgunaan identiti dalam talian.
“Kesemua 121 kes ini membabitkan individu berprofil tinggi, termasuk pemimpin utama negara dan tokoh politik.
“MCMC telah memohon kepada pihak platform seperti Meta untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan berunsur penipuan,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya tentang penipuan iklan yang diterbitkan di laman media sosial.
Dalam pada itu Nie Ching berkata, kerajaan kini dalam proses memuktamadkan Akta Keselamatan Dalam Talian, yang bertujuan memperkukuh aspek kawal selia serta melindungi pengguna internet daripada ancaman jenayah digital.
“SKMM juga kini sedang membangunkan perundangan subsidiari, termasuk penggubalan Kod Keselamatan Dalam Talian, sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh mengurangkan risiko dan pendedahan terhadap penipuan maya.
“Kita merujuk model yang diguna pakai di beberapa negara lain seperti Singapura yang telah mewajibkan pengiklan digital untuk mengesahkan identiti mereka (identity verification) sebelum sesuatu iklan boleh disiarkan.Jika langkah ini terbukti berkesan, kita tidak menolak kemungkinan memasukkannya ke dalam kod peraturan SKMM,” jelasnya lagi.