BEIJING: Perdana Menteri China, Li Qiang, mengumumkan permulaan pembinaan empangan hidro terbesar di dunia yang terletak di kawasan timur dataran tinggi Tibet, dengan anggaran kos sekitar AS$170 bilion (RM720 bilion), lapor Xinhua.
Menurut Utusan Malaysia, projek itu dilaporkan merupakan sebahagian daripada usaha China untuk memperluaskan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan pelepasan karbon.
Empangan tersebut akan terdiri daripada lima stesen kuasa hidro bertingkat dan dibina di bahagian hilir Sungai Yarlung Zangbo, berpotensi menjejaskan berjuta-juta penduduk di India dan Bangladesh yang bergantung kepada aliran sungai tersebut.
Qiang menyifatkan projek kuasa hidro itu sebagai ‘projek abad ini’ dan menegaskan penekanan khusus mesti diberikan kepada pemuliharaan ekologi untuk mengelakkan kerosakan alam sekitar, menurut Xinhua dalam laporan pada Sabtu lalu.
Setakat ini, pihak berkuasa belum menyatakan berapa ramai penduduk yang akan dipindahkan akibat projek tersebut, mahupun sejauh mana kesannya terhadap ekosistem tempatan.
Namun, menurut pegawai China, projek kuasa hidro di Tibet tidak akan memberikan kesan besar terhadap alam sekitar atau bekalan air ke kawasan hilir.
Bagaimanapun, India dan Bangladesh tetap menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan empangan tersebut.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Kempen Antarabangsa untuk Tibet menyatakan pembinaan empangan tersebut akan memudaratkan dataran tinggi Tibet dan menjejaskan kehidupan berjuta-juta penduduk di kawasan hilir.
Empangan itu dianggarkan mampu menjana sebanyak 300 bilion kilowatt-jam elektrik setahun dan dijangka dapat memenuhi keperluan tenaga di Tibet serta wilayah lain di China.
Projek itu akan memainkan peranan utama dalam memenuhi matlamat puncak karbon dan neutraliti karbon China, merangsang industri berkaitan seperti kejuruteraan, serta mewujudkan peluang pekerjaan di Tibet, lapor Xinhua pada Disember 2024.
































