Jonouchi mencetus fenomena di media sosial kerana dagunya yang luar biasa panjang.
TOKYO: Seorang pemuda di Jepun tular kerana memiliki dagu terpanjang di dunia, malah tidak malu untuk menggunakan keunikan tersebut bagi meraih populariti di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, pemuda yang dikenali sebagai Jonouchi itu mencipta fenomena apabila mempromosikan dirinya sebagai pempengaruh dengan dagu terpanjang di dunia sehingga membolehkan dirinya meraih hampir 350,000 pengikut setakat ini, selain turut memiliki lebih 400,000 pengikut di platform media sosial lain.
Jonouchi mendedahkan, dagunya yang luar biasa panjang itu mula membesar secara ketara sejak beliau berusia lima tahun dan apa yang menghairankan, tiada seorang pun daripada ahli keluarganya mewarisi ciri fizikal sedemikian.
Gambar-gambar zaman kanak-kanaknya menunjukkan bentuk dagu beliau masih kelihatan normal sehingga usia tiga tahun namun, ketika memasuki usia lima tahun, dagunya mula tampak runcing dan memanjang dengan jelas.
Menurut Jonouchi, beliau mula menyedari keanehan itu ketika berada di tahun lima sekolah rendah selepas seorang rakan sekelas menyatakan dagunya sangat panjang.
“Saya minum susu setiap hari kerana mahu membesar dengan lebih tinggi, tetapi yang memanjang hanyalah dagu saya,” katanya berseloroh.
Beliau kemudian mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan X-ray di sebuah hospital pergigian namun, doktor yang merawatnya sendiri terkejut dengan struktur tulang dagunya dan mengakui tidak pernah melihat keadaan sedemikian.
Keputusan X-ray mendapati terdapat keabnormalan pada struktur tulang, tetapi faktor genetik serta pengambilan kalsium berlebihan melalui susu turut dinafikan sebagai punca.
Jonouchi mengakui, pada awalnya keadaan itu memberi cabaran besar kepada dirinya terutama ketika zaman persekolahan dan dalam kehidupan peribadi.
Beliau pernah diejek dan seorang gadis secara terang-terangan menolak cintanya disebabkan keadaan fizikal tersebut namun, Jonouchi memilih untuk menerima kekurangan itu dan menjadikannya sebagai jenama peribadi di media sosial.
Kini, beliau tampil dengan yakin mempamerkan dagunya kepada umum dan berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada orang lain supaya berani menerima perbezaan diri malah, turut berseloroh mengenai kekurangan lain dalam dirinya.
































