Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Dasar luar dan ekonomi ASEAN perlu diselaraskan bagi mencapai keperluan strategik menghadapi cabaran ketika ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan tersebut penting bagi menjamin daya tahan saing, sejajar dengan Visi ASEAN 2045 yang menyeru kepada sinergi lebih besar merentas tonggak dan sektor.
“Ini bukan badai sementara, ini adalah cuaca baharu zaman ini. ASEAN mesti menghadapi realiti ini dengan jelas dan yakin. Kita mesti membaca landskap secara objektif, bercakap dengan konsisten, dan bertindak dengan pandangan jauh.
“Perpaduan kita tidak boleh berakhir dengan deklarasi. Ia mesti disepadukan dalam institusi, strategi dan keputusan ekonomi kita,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Berkenaan ketegangan dan konflik yang berlaku termasuk Asia Barat, Anwar berkata, ASEAN mesti menjadi antara pihak yang memilih untuk berdiri teguh mempertahankan prinsip walaupun pihak lain memilih untuk berundur.
“Di Gaza dan Palestin, kita menyaksikan penderitaan berterusan terhadap satu bangsa yang dinafikan maruah dan keadilan selama beberapa generasi. Di Ukraine, perang masih berlarutan.
“Di beberapa bahagian Afrika, keganasan terus menyebabkan pelarian dan kemusnahan dan di Myanmar, keamanan masih sukar dicapai walaupun penderitaan semakin mendalam,” katanya.
Akibat daripada itu, jelas Anwar, pelbagai sekatan dan tekanan cuba dilakukan kepada seluruh negara termasuklah sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata tajam dalam persaingan geopolitik.
“Kuasa memang sentiasa mempengaruhi perdagangan tetapi hari ini, ia semakin menjelaskan keadaan tersebut. Di seluruh dunia, alat-alat yang dahulunya digunakan untuk menjana pertumbuhan kini digunakan untuk memberi tekanan, mengasingkan dan menyekat.
“Tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata tajam dalam persaingan geopolitik,” ujarnya.
Berikutan kebimbangan tersebut, kata Anwar, ke semua negara-negara ASEAN perlu memperkukuh perpaduan dan memainkan peranan lebih tegas dalam menghadapi cabaran geopolitik.
Jelasnya, kekuatan ASEAN bukan terletak kepada tiadanya ketegangan di antara negara-negara anggota, tetapi komitmen dan cara menguruskannya melalui rasa hormat bersama dan dialog berterusan.
Malah katanya, kebersamaan tersebut harus dikekalkan dan menjadi panduan kepada semua negara ASEAN termasuklah dalam usaha pencarian konsensus.
“ASEAN bukan lahir daripada keselesaan. Ia ditempa dalam keadaan penuh kompleks oleh negara-negara yang tahu bahaya perpecahan dan potensi yang ada dalam dialog.
“Namun begitu, kita telah berjaya mengekalkan keamanan dan memperluas kemakmuran dengan cara yang jarang dapat ditandingi oleh rantau lain.
“Kita mencapainya dengan memupuk budaya kerjasama, kesediaan untuk terus berinteraksi walaupun sejarah silam mencabar dan masa kini menguj,” katanya.
Mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang baharu pada Oktober ini, Anwar berkata, Malaysia telah lama menyokong hasrat tersebut, malah teruja dengan dengan kemajuan yang telah dicapai.
“Saya menyeru semua negara anggota untuk terus menyokong laluan Timor-Leste ke arah integrasi penuh, bukan sahaja ke dalam institusi kita, tetapi ke dalam visi bersama kita bagi masa depan rantau ini,” ujarnya.

































