Gambar dikeluarkan agensi berita Turkiye, DHA, kelmarin menunjukkan salji turun di kawasan altitud tinggi di Rize.
ISTANBUL: Salji lebat yang jarang berlaku melanda beberapa kawasan di timur laut Turkiye pada Jumaat, ketika bahagian lain di negara itu bergelut dengan gelombang haba dan kebakaran hutan.
Menurut Utusan Malaysia, suhu menjunam di beberapa kawasan pegunungan yang terletak di pedalaman dari bandar Rize, di pesisir Laut Hitam timur Turkiye, kira-kira 120 kilometer dari sempadan Georgia.
Wartawan tempatan dari Rize, Gencaga Karafazlioglu berkata, kawasan itu sememangnya terkenal dengan cuaca tidak menentu dan hujan lebat, tetapi salji pada bulan Julai adalah fenomena yang luar biasa.
“Salji turun selama kira-kira empat atau lima jam. Saya berusia 65 tahun dan tinggal di Rize hampir sepanjang hidup, dan ini kali pertama saya melihat salji pada bulan Julai.
“Kami pernah mengalami salji beberapa kali pada Mac, tetapi tidak sebanyak ini, malah generasi lebih tua melihat salji pada Julai kira-kira 30 atau 40 tahun lalu, namun tidak pernah selebat ini,” katanya kepada AFP.
Di Ovit Yaylasi, sebuah dataran tinggi kira-kira 2,500 meter, rakaman di media sosial menunjukkan kawasan padang diselaputi salji tebal.
Fenomena itu meliputi kawasan seluas lebih 100 kilometer, dari dataran tinggi Anzer Yaylasi merentasi Taman Negara Pegunungan Kackar, yang terkenal dengan penternakan haiwan.
“Bandar Artvin paling teruk terjejas,” kata Karafazlioglu merujuk bandar yang terletak kira-kira 50 km dari pedalaman dan berada pada ketinggian 350 meter dari paras laut.
Kejadian salji luar biasa itu berlaku serentak ketika pasukan bomba berusaha memadam kebakaran hutan di wilayah Izmir, kira-kira 1,600 km di sebelah barat, di mana suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius dalam beberapa hari akan datang.
Pakar berkata, perubahan iklim akibat aktiviti manusia semakin mendorong kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan dahsyat, termasuk kemarau, gelombang haba dan ribut hujan batu.