WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengusir lapan migran ke Sudan Selatan pada Jumaat, selepas mereka ditahan lebih sebulan di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Djibouti, menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Menurut Utusan Malaysia, tindakan tersebut dilakukan pada 4 Julai, yang juga merupakan Hari Kemerdekaan AS.
Hanya seorang daripada individu tersebut berasal dari Sudan Selatan sementara selebihnya terdiri daripada dua individu dari Myanmar, dua dari Cuba, serta masing-masing seorang dari Vietnam, Laos dan Mexico.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengeluarkan satu kenyataan yang menggambarkan lapan lelaki itu sebagai pendatang tanpa izin yang kejam, ganas dan bersifat jenayah dengan rekod sabitan kesalahan termasuk pembunuhan, serangan seksual dan rompakan.
Setiausaha Penolong DHS, Tricia McLaughlin dalam satu kenyataan menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘kemenangan untuk keluhuran undang-undang serta keselamatan rakyat AS’.
Sebuah pesawat yang membawa para migran terbabit dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Juba, Sudan Selatan pada pagi Sabtu dan dua pegawai lapangan terbang yang enggan dinamakan mengesahkan pesawat berkenaan mendarat sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan).
Seorang kakitangan lapangan terbang yang enggan namanya disiarkan memaklumkan melihat dokumen rasmi yang mengesahkan ketibaan pesawat tersebut.
Seorang pegawai imigresen Sudan Selatan turut mengesahkan ketibaan para migran itu, namun enggan mengulas lanjut dan merujuk semua pertanyaan kepada agensi perisikan negara.
Menurut satu sumber kerajaan Sudan Selatan, wakil-wakil dari AS telah pun berada di lapangan terbang bagi menunggu ketibaan kumpulan tersebut.
Mereka sebelum ini ditahan di Djibouti selepas seorang hakim persekutuan di Boston menghalang pentadbiran Trump daripada terus menghantar mereka ke Sudan Selatan atas kebimbangan berkenaan hak proses undang-undang.
Namun, selepas perbicaraan lanjut, Mahkamah Agung AS pada Khamis menarik semula larangan tersebut.
Dua mahkamah di AS sempat mendengar permohonan peguam migran itu secara kecemasan pada Jumaat, meskipun mahkamah ditutup sempena cuti umum.
Tetapi Hakim Daerah AS, Brian Murphy, berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Agung dan terpaksa menolak permohonan tersebut, sekali gus membuka jalan kepada penghantaran pulang lapan lelaki itu.
Setakat ini, lokasi sebenar lapan migran itu selepas ketibaan mereka di Sudan Selatan masih belum diketahui.