Facebook Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Hubungan dua hala Malaysia-Perancis diperkukuh menerusi pertukaran tiga dokumen penting merangkumi bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi.
Menurut Utusan Malaysia, pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Perancis, François Bayrou di Paris kelmarin.
Anwar berkata, pemeteraian itu membuktikan kesungguhan kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama strategik dalam sektor-sektor utama yang menyokong pertumbuhan masa depan.
“Perjanjian persefahaman antara syarikat Malaysia, Malaco dan syarikat Perancis, Carester merupakan pencapaian besar dalam pembangunan industri nadir bumi negara.
“Ia selaras dengan komitmen Malaysia terhadap prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan inisiatif tenaga baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah beliau, surat tawaran kepada syarikat pertahanan Thales LAS pula bakal memperkukuh sistem pemantauan ruang udara negara menerusi pembekalan dua radar jarak jauh baharu, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pertahanan udara Malaysia.
Sementara itu, satu lagi kerjasama penting melibatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Business France dijangka merancakkan promosi perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis.
“Kerjasama ini akan memberi fokus kepada sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, sejajar dengan hala tuju transformasi ekonomi negara,” kata Anwar.
Pertukaran dokumen berkenaan merupakan antara agenda penting dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri ke Perancis, selain pertemuan empat mata dengan Presiden Emmanuel Macron serta sesi meja bulat bersama pemain industri utama Perancis.


























