PETALING JAYA: Kerajaan memberi kelonggaran kepada pihak industri untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai antara 1 Julai hingga 30 September 2025 susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil selepas mengambil kira maklum balas dan permohonan daripada pemain industri berhubung kesukaran mematuhi semua keperluan operasi di bawah perubahan yang dilaksanakan terhadap SST.
“Walau bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) tetap wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, MOF berkata, pendaftaran awal secara sukarela telah dibuka oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membolehkan pengilang membuat pendaftaran lebih awal sebelum tarikh pelaksanaan rasmi pada 1 Julai 2025.
“Pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai 2025 dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.
“Syarikat yang sebelum ini telah menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC) di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai 2025 akan terus menikmati pengecualian tersebut, tertakluk kepada tempoh dan syarat ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, jika syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai 2025 dan mencapai nilai ambang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar serta boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my.
“Kerajaan berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST,” katanya.






























